Slide 1 Slide 2 Slide 4 Slide 5 Slide 5 Slide 5 Slide 5

Buletin Berjaya

JPJ Bersama Rakyat di Felda Ulu Tebrau, Johor

Pada 10 dan 11Mac 2007 yang lalu, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Johor telah menganjurkan Program JPJ Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Felda Ulu Tebrau, Johor. Program anjuran bersama pihak JPMM dengan kerjasama Pusat Latihan Memandu Berjaya Berhad ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan warga emas di seluruh negeri Johor yang berumur 45 tahun ke atas, menjalani ujian dan seterusnya memiliki lesen memandu motosikal B2 yang sah. 

Program yang berjaya menarik minat 250 orang warga emas ini bermula pada jam 8.30 pagi dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Rosli Bin Ramli, Pengarah JPJ Negeri Johor. Ia diikuti dengan sesi ceramah Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dikendalikan oleh beberapa orang pegawai JPJ. Kursus tersebut berakhir kira-kira pada jam 1.00 tengahari untuk para peserta berehat dan menikmati jamuan. Pada sebelah petang, sesi ujian bertulis telah dijalankan dan hasilnya, semua peserta yang mengambil bahagian telah berjaya melepasi ujian tersebut. Ia berakhir pada jam 4.30 petang.

Program JPJ Bersama Rakyat ini diteruskan pada hari berikutnya. Ia bermula dengan sesi latihan praktikal. Pada sesi ini, setiap peserta dikehendaki menunggang motosikal di dalam litar yang telah direka oleh beberapa orang staf PLM Berjaya Bhd yang diketuai oleh Encik Teo Kok Pom. Litar yang terdiri daripada 2 bahagian iaitu Pusingan Angka 8 dan Meniti itu adalah menyerupai litar ujian menunggang motosikal yang sebenar. Pada sesi ini juga, selain daripada 5 buah motosikal yang telah disediakan oleh PLM Berjaya Bhd, para peserta boleh menggunakan motosikal masing-masing bagi menjalani sesi ini. Sesi Latihan Praktikal ini telah berakhir dengan jayanya pada kira-kira jam 12 tengahari.

Program JPJ Bersama Rakyat yang diadakan di Felda Ulu Tebrau ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi peluang kepada warga emas memiliki lesen memandu, bahkan ia juga dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalanraya mengenai kepentingan pemanduan berhemah, disamping merapatkan hubungan antara pihak JPJ dan pihak institut memandu dengan penduduk tempatan. Menerusi program ini, penduduk berpeluang memperbaharui lesen cukai jalan, membayar saman dan melihat pameran yang diadakan oleh pihak JPJ.

Program yang berlangsung selama 2 hari ini akan diteruskan selepas sahaja para peserta memperolehi Lesen Belajar Memandu (L), dimana selepas ini setiap peserta dikehendaki menjalani latihan amali selam 9 ½ jam di dalam litar sebenar di PLM Berjaya Bhd. Apabila tamat latihan tersebut, para peserta akan dikehendaki menjalani ujian yang dikendalikan oleh pihak JPJ pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, bagi memperolehi Lesen Memandu Percubaan (P).

Secara keseluruhannya, Program JPJ Bersama Rakyat yang diadakan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Diharapkan program-program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.